Dato Gerald Garis Tiga Fokus Utama Untuk Dilaksanakan Di Layar

AHAD, 23 JANUARI 2022

BETONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Dato Gerald Rentap Jabu menggariskan tiga fokus utama untuk dilaksanakannya di kawasan tersebut.

Menurut Dato Gerald, meningkatkan sektor ekonomi di DUN Layar dengan mempelbagaikan kegiatan selain yang sedia ada menjadi keutamaannya.

Menteri Muda Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan itu turut meletakkan keutamaan dalam memperkasakan bidang pendidikan.

Jelasnya, usaha tersebut telah dimulakan sejak beberapa tahun yang lalu, antaranya pemberian peranti seperti komputer riba dan tablet untuk kegunaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

“Ketiga, penekanan kepada ‘equality’. Sama-sama mendapat peluang sekaligus mengekalkan perpaduan yang telah sedia wujud sejak nenek moyang kita. ‘Unity is our strength’. Susah sama susah, senang sama senang,” ucapnya semasa Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Jentera Pilihanraya GPS DUN N.36 Layar di Dewan Masyarakat Spaoh pada Sabtu.

Katanya, sokongan yang tidak berbelah semua jentera parti memberi kemenangan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan majoriti yang besar di Layar sekaligus berjaya memenangi 76 dari 82 kerusi dipertandingkan.

Kemenangan itu katanya turut disokong kuat rakan komponen GPS iaitu SUPP, PDP dan PRS dan PBB.

“Sokongan padu anda semua kini dibalas apabila wakil rakyat anda kini diberi amanah dan tanggungjawab oleh YAB Ketua Menteri untuk menganggotai kabinet negeri dengan dilantik sebagai Menteri Muda Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan.

“Ini bukan milik saya, ianya adalah milik kita bersama. Tanggungjawab ini adalah besar, banyak yang perlu dilakukan. Saya harus melihat, mendengar dan menerima pandangan daripada pelbagai pihak dan bertindak secara dua hala,” katanya.

Tambahnya, semua warga di Layar diajak untuk bersama-sama melakukan perubahan di Betong di dalam tempoh lima tahun akan datang dan mengintai segala peluang yang ada dan manfaatkannya. – EDISI UKAS

add comment