Isteri KM Lawat Dua Tapak Projek, Hadir Program MAKSAK CARES Di Sibu

AHAD, 23 JANUARI 2022

SIBU: Isteri Ketua Menteri Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang telah hadir membuat lawatan ke Masjid Al-Qadim, Sibu pada Sabtu.

Lawatan tersebut bertujuan melihat perkembangan semasa Projek Hiasan Dalaman, Masjid Al-Qadim yang berusia lebih kurang 160 tahun dan merupakan antara masjid tertua di Sarawak.

Projek ini dijangka siap sepenuhnya dalam bulan puasa pada tahun ini memandangkan pintu dan hiasan dalaman yang lain ditempah khas dari Indonesia serta kekangan daripada tenaga kerja pada masa ini.

Sejurus selepas itu, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani hadir ke program penyampaian sumbangan ikhlas MAKSAK CARES kepada 1000 orang penjawat awam golongan B40 bagi zon Utara, Tengah dan Selatan di RH Hotel, Sibu.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Zohari Tun Datuk Abang Openg, telah menyumbangkan sebanyak RM100,000 untuk Tabung MAKSAK Cares bagi membiayai Projek Fasa 2 MAKSAK Cares PBT yang akan diuruskan oleh Biro Kebajikan dan Sosial, MAKSAK Wanita Negeri Sarawak.

Sementara itu, sesi Penyampaian Baucar Tunai telah disampaikan oleh Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang selaku Penasihat MAKSAK Wanita Negeri kepada tujuh orang HRO yang mewakili 75 kakitangan PBT Negeri di Zon Tengah.

Program MAKSAK Cares merupakan aktiviti kebajikan MAKSAK Wanita Sarawak dalam membantu meningkatkan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah serta memastikan tiada penjawat awam yang tercicir dari menikmati faedah bantuan Kerajaan.

Terdahulu, Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani mengadakan lawatan rasmi ke Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali, di Sibu untuk melihat sendiri keadaan bangunan pentadbiran dua tingkat yang baru sahaja siap dibina.

Pembinaan bangunan itu menelan belanja sebanyak RM3.5 juta di mana Kerajaan Negeri Sarawak telah menyumbangkan RM2.5 juta kepada sekolah berkenaan.-EDISI UKAS

add comment