Kempen Darah Di Miri Dapat Sambutan NGO Dan Penduduk Setempat

AHAD, 23 JANUARI 2022

MIRI: Sambutan kempen menderma darah di Bahagian Miri sangat membanggakan apabila banyak Persatuan Bukan Kerajaan (NGO) mengadakan kempen derma darah di Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) ini. 

Menurut Penasihat Persatuan Bekas Pelajar Sekolah St. Joseph Miri Dato Sri Lee Kim Shin, keadaan ini menyebabkan bekalan darah di Tabung Darah Hospital Miri mencukupi. 

“Setiap minggu beberapa NGO datang ke sini mengadakan aktiviti derma darah. Respon yang diterima sangat baik dan konsisten bagi menampung keperluan darah di Tabung Darah Hospital Miri ini,” katanya semasa ditemui selepas merasmikan Kempen Derma Darah anjuran Persatuan Bekas Pelajar Sekolah St. Joseph Miri di Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) pada Sabtu. 

Kempen Derma Darah ini diadakan adalah untuk membantu meningkatkan tabung darah di Hospital Miri bagi keperluan kecemasan. 

Dato Sri Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak menzahirkan rasa gembira apabila Russel Rossi yang berusia 17 tahun menjadi penderma darah termuda dalam kempen darah itu. 

“Hari ini saya berasa gembira apabila seorang penderma muda yang membuat keputusan menderma darah buat kali pertama pada usia 17 tahun,” ujarnya. 

Beliau dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada NGO dan rakyat di Miri di atas keprihatinan dalam membantu Tabung Darah Hospital Miri. 

Hadir sama Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar Sekolah St Joseph Miri gerald Goh. -EDISI UKAS

add comment