Kerajaan Negeri Buka Peluang Golongan Belia Ceburi Pelbagai Bidang

AHAD, 23 JANUARI 2022

SARIKEI : Belia merupakan tunjang kepimpinan masa depan negara dan mereka harus dipimpin bagi mencapai ke arah kecemerlangan.

Penglibatan para belia amat penting dalam membentuk masyarakat yang terbaik kerana para belia mempunyai pemikiran yang inovatif dan kreatif.

Menurut Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh, kerajaan telah mewujudkan Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS) kerana pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri amat memerlukan kemahiran teknikal.

“Banyak universiti juga telah diwujudkan dan dibiayai oleh kerajaan melalui biasiswa Khas untuk para belia bagi meningkatkan kemahiran masing-masing,” katanya dalam majlis penutupan Program I Think For Belia di Dewan Sri Nyelong, Sarikei pada Sabtu.

Selain itu, antara kemudahan yang dibangunkan adalah Sarikei Inovation Center (SIC) dan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) untuk membangunkan para belia di negeri ini.

Sehubungan itu, kerajaan negeri kini lebih terbuka dengan memberikan peluang kepada golongan muda untuk terlibat dalam pelbagai aspek seperti politik, sukan, pentadbiran dan sebagainya.

Datu Len Talif dalam pada itu amat berterima kasih kepada Kolej Komuniti Sarikei kerana memberi peluang kepada para belia mengadakan program seperti ini serta berharap ianya dapat memberi pendedahan kepada belia Sarikei di samping mengeratkan perhubungan dalam kalangan belia.- EDISI UKAS

add comment