Projek Benteng Laut Blok Fasa 3 Sebuyau Dijangka Siap Dalam Tempoh 24 Bulan

AHAD, 23 JANUARI 2022

SEBUYAU: Projek Benteng Laut Blok Fasa 3 Sebuyau dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, tawaran kontrak berjumlah RM19.9 juta itu telah dilakukan kepada kontraktor dilantik bermula 20 Januari lepas.

Menurutnya, ini bermakna projek tebatan banjir atau benteng laut melibatkan Blok F fasa 1,2 dan 3 Sebuyau sudah ditawar sepenuhnya.

“Blok F dijangka dapat mengawal dan menghalang limpahan air laut semasa berlakunya air pasang besar di Sebuyau.

“Untuk rekod selain Blok F, blok lain yang sedang dibina ialah Blok E dari Tebelu hingga ke Kampung Seberang Sebuyau yang mula dibina sebelum penghujung tahun lepas,” katanya semasa menghadiri taklimat projek tebatan banjir pada Sabtu.

Turut hadir, Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu.

Sementara itu, Datuk Julaihi memberitahu, projek Blok D dari Bajong ke Tebelu juga bermula tahun lepas, manakala Blok A Sebangan Fasa 1 sebelah Sebangan/Bajong telah bermula pada Oktober 2020.

Tambahnya, Blok A Fasa 2 yang akan bersambung dari Bajong menuju Kampung Lutong/Pasar Sebangan/Sg Menek masih dalam penilaian kontrak sebelum kontraktor dilantik.

“Semua kerja membina benteng laut ini dijadualkan siap 24 bulan dari tarikh kerja kontrak bermula untuk semua Blok A,D,E dan F sepanjang 25 kilometer dari Sebangan menuju Sungai Rama Sebuyau,” katanya. -EDISI UKAS

add comment