Sambutan Perayaan Pelbagai Kaum Simbol Keharmonian Masyarakat Di Sarawak

AHAD, 23 JANUARI 2022

DEBAK: Sambutan pelbagai jenis perayaan termasuk Tahun Baru Cina di Sarawak merupakan simbolik keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam berkata Sarawak sangat bertuah kerana sikap toleransi dan perpaduan kaum sesama masyarakatnya yang menjadi contoh kepada negeri dan negara luar.

“Ini dapat dilihat apabila di musim perayaan, kita sentiasa laksanakan bersama ibarat semua kaum di Sarawak ini ialah sebuah keluarga yang utuh,” katanya semasa menyempurnakan simbolik penyerahan limau mandarin kepada 150 orang penerima khususnya penduduk bangsa Cina yang tinggal di Debak pada Sabtu.

Turut hadir semasa penyerahan Pegawai Daerah Betong, Sofhi Jebal.

Dalam program berasingan, Mohammad Razi yang juga Menteri Muda Pembangunan Kesejahteraan Komuniti berkeempatan mengiringi Rombongan Squad Kasih Sayang Kampung Bungey bagi menghulurkan sumbangan kepada salah seorang penduduk, Amit Omar yang cedera di kaki akibat terjatuh semasa membaiki rumah.

Beliau juga telah meluangkan masa berbual dan turut menghulurkan sumbangan peribadi bagi meringankan beban ahli keluarga.

Sejurus selepas itu, Mohammad Razi serta rombongan turut menziarahi ahli keluarga Abg Shamsawi Abg Aron yang menghidap penyakit komplikasi buah pinggang.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Kampung Bungey, Amy Shuhaida Tio telah menzahirkan jutaan terima kasih kepada Mohammad Razi kerana meluangkan masa menjenguk dan menziarahi penduduk di situ terutamanya mereka yang sangat memerlukan bantuan. – EDISI UKAS

add comment