Tiga KIR Mangsa Tanah Runtuh Di DUN Tasik Biru Terima Bantuan Wang Ihsan

AHAD, 23 JANUARI 2022

BAU: Seramai tiga ketua isi rumah (KIR) mangsa tanah runtuh di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru menerima bantuan wang ihsan (BWI) secara ‘one off’ pada Sabtu.

BWI di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA sebanyak RM1,000 bagi setiap KIR iaitu dua dari Kampung Senibung Singai dan satu lagi dari Kampung Sibuluh yang disalurkan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bau (JPBDB).

Menteri Muda Pengangkutan II Sarawak, Dato Henry Harry Jinep telah menyampaikan BWI tersebut kepada dua KIR terlibat iaitu Mijed Junus dan Gichun Muto di Kampung Senibung di mana rumah mangsa mengalami kerosakan akibat kejadian tanah runtuh pada 13 Januari lepas.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru berkata, rumah kediaman Mijed telah mengalami kerosakan yang amat teruk dan memohon kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk tindakan susulan sama ada dibina baru atau seumpamanya kerana sudah tidak selamat lagi untuk diduduki.

Sementara itu, Pegawai Daerah Bau merangkap Pengerusi JPBDB, Anielia Siam kemudiannya menyampaikan bantuan sama kepada seorang lagi mangsa terlibat iaitu Nyobi Gandek di Kampung Sibuluh yang mengalami kerosakan pada rumah kediaman akibat tanah runtuh pada 14 Januari lalu. -EDISI UKAS

add comment