13 Anak-Anak Ahli NSJA Terima Insentif Pendidikan

ISNIN, 24 JANUARI 2022

MIRI: Majlis Penyerahan Insentif Pendidikan Kanak-Kanak Ahli Persatuan Wartawan Sarawak Utara (NSJA) Tahun 2020 diadakan selepas dua tahun ianya tertangguh akibat penularan wabak pandemik COVID-19. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (Piasau) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, biarpun lewat ianya tetap diadakan sebagai memberikan motivasi bagi memberikan galakan dan merangsang anak-anak untuk terus berjaya dalam pelajaran. 

“Ini adalah kali kelima NSJA memberikan insentif pendidikan kanak-kanak anggota dari tadika hingga ke peringkat pengajian tinggi yang cemerlang dalam peperiksaan awam,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Insentif Pendidikan Kanak-Kanak Ahli NSJA bagi Tahun 2020 di Pusat Khidmat DUN Piasau pada Ahad. 

Seramai 13 orang anak-anak ahli NSJA yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur menerima insentif pendidikan. 

Dalam pada itu, Dato Sebastian yang juga Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) memberitahu kekangangan dalam pembelajaran akibat penularan COVID-19 telah mempercepatkan transformasi digital.

“Kerajaan kini berusaha memajukan teknologi inovasi bagi pembelajaran jarak jauh yang pastinya akan memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar terutamanya di kawasan luar bandar. 

“Ini juga bertujuan meluaskan kebolehcapaian kepada pendidikan anak-anak tidak kira bila dan di mana berada,” ujarnya. 

Turut sama hadir Pengerusi NSJA Andy Jong.-EDISI UKAS

add comment