Kanak-Kanak Salvation Army Dan Boys Home Diraikan Sempena Tahun Baharu Cina

ISNIN, 24 JANAURI 2022

KUCHING: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu 38 Yayasan Pencinta Amal meraikan sambutan awal Tahun Baharu Cina bersama kanak-kanak yang mendiami Salvation Army dan Boys Home di Hotel Pullman di sini pada Isnin.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sambutan seperti ini memberi peluang kepada golongan tersebut untuk turut sama merasai kemeriahan sambutan perayaan dengan suasana yang disediakan oleh 38 Yayasan Pencinta Amal.

“Ianya sangat penting untuk sebuah masyarakat mempunyai kerajaan dan NGO yang prihatin terutama sekali terhadap kanak-kanak yang ditempatkan di Rumah Kanak-kanak, Salvation Army Home dan sebagainya.

“Anak-anak ini daripada pelbagai latar belakang serta mempunyai kisah sendiri dan kita perlu tunjukkan bahawa kita prihatin kepada mereka dengan menyediakan satu peluang dan ruang untuk mereka mempunyai suasana yang ceria terutama perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan juga perayaan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis tersebut.

Terdahulu semasa berucap Dato Sri Fatimah berkata, beliau berharap lebih banyak NGO melakukan kerja amal seperti yang dilakukan oleh 38 Yayasan Pencinta Amal yang banyak membantu golongan yang memerlukan di Sarawak ini.-EDISI UKAS

add comment