Kerajaan Beri Jaminan Tiada Lagi Pelaksanaan PKP, Sekatan Perjalanan Pulang Ke Kampung

ISNIN, 24 JANUARI 2022

KUCHING: Kerajaan memberi jamninan tidak akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri tahun ini seperti yang didakwa pihak tertentu. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sektor ekonomi dan sosial serta pergerakan merentas negeri sudah dibenarkan kembali seperti biasa seperti mana dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

Jelasnya, jika kes COVID-19 meningkat di sesuatu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilakukan di kawasan itu sahaja. 

“Pengumuman mengenai pendirian kerajaan berhubung perkara itu sudah dibuat sebelum ini dan hanya pelaksanaan PKPD akan dilakukan di kawasan melaporkan peningkatan kes positif COVID-19 membimbangkan.

“Kita tidak akan menutup lagi sempadan negeri dan daerah, dan kita juga tidak buat PKP seluruh negara.

“Ekonomi kita akan buka seperti biasa, ada orang kata ekonomi akan ditutup dan itu tidak betul.

“Saya beri jaminan kita tidak akan menutup lagi negara dari segi perniagaan dan sebagainya, bebas seperti sekarang sektor ekonomi kita dibuka seperti biasa, termasuk pergerakan rakyat seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama petugas KEMAS Daerah Bera pada Ahad. 

Tambah Datuk Seri Ismail Sabri lagi, sebarang keputusan untuk melaksanakan PKPD akan dibuat selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).-EDISI UKAS

add comment