Operasi Samseng Jalanan, Polis Tahan 3 Individu Termasuk Warga Indonesia

ISNIN, 22 JANUARI 2022

BINTULU: Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu telah menjalankan satu operasi Samseng Jalanan di antara jam 6:30 petang hingga 10:00 malam pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, sepasukan anggota polis seramai 12 orang dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Bintulu melakukan operasi selepas menerima maklumat daripada masyarakat awam dan risikan. 

Kawasan pemantauan merangkumi kawasan Tanjung Batu, Sungai Plan, Bintulu Sentral dan Jalan Paragon. 

“Operasi ini telah berjaya menahan dan menangkap tiga individu yang berumur 15 tahun, 20 tahun dan seorang warganegara asing (Indonesia) yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.42(1) APJ 1987. 

“Mereka ditahan disebabkan memandu dan menunggang secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya menerusi kenyataan media pada Isnin. 

Tambah Superintenden Zulkipli lagi, kesalahan ini boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 5 tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 bagi kesalahan pertama. 

Operasi ini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi salah satu cara mengurangkan angka kemalangan di daerah Bintulu.-EDISI UKAS

add comment