Pemergian Datuk Simon Dembab Maja Kehilangan Besar Buat Sarawak

ISNIN, 24 JANUARI 2022

KUCHING: Pemergian bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Simon Dembab Maja yang meninggal dunia pada Sabtu lepas merupakan satu kehilangan besar kepada negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyifatkan, mendiang ketika hayatnya memainkan peranan penting dalam pembentukan kestabilan politik di negeri ini pada tahun 70-an.

“Dengan adanya beliau menjadi seorang anggota kabinet negeri, maka kerajaan yang ditubuhkan pada ketika itu dapat distabilkan.

“Beliau merupakan teras kepada kerajaan campuran yang akhirnya menjadi kerajaan Barisan Nasional pada tahun 1970-an di mana negeri Sarawak mempunyai keadaan politik yang baik hingga ke hari ini.

“Kita berasa kehilangan seorang anak Sarawak yang telah banyak menyumbang kepada kekuatan Sarawak yang ada pada hari ini,” katanya semasa memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Datuk Simon Dembab Maja pada Isnin.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Martin Ben, Menteri Muda Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu, Menteri Muda Tenaga Dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr. Hazland Abang Hipni, Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti & Ombudsman), Datuk Juanda Jaya.

Datuk Simon Dembab Maja disahkan meninggal dunia pada usia 85 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di Kuching pada Sabtu.

Mendiang meninggalkan balu Datin Rosalind Siti Jemeni, tiga anak, tiga cucu serta dua cicit.

Upacara pengebumian akan disempurnakan di kampung halamannya di Selindung, Engkelili pada Rabu ini.-EDISI UKAS

add comment