Penarikan Diri 88 Atlet SUKMA Sarawak Sedikit Sebanyak Menjejaskan Persiapan

ISNIN, 24 JANUARI 2022

KUCHING: Penarikan diri 88 atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Bumi Kenyalang sedikit sebanyak menjejaskan persiapan kontinjen Sarawak untuk beraksi pada SUKMA 2020 di Kuala Lumpur tahun ini.

Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, melihat kepada jumlah yang telah menarik diri, beliau melihat persiapan Sarawak ke arah itu sedikit sebanyak terjejas.

“Walau bagaimanapun, kita ada pelapis-pelapis yang lain ataupun atlet-atlet yang lain yang perlu kita angkat untuk menggantikan atlet-atlet yang telah tarik diri,” katanya pada sidang media sempena Majlis Malam Penghargaan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC)/Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) 2021 di Hotel Pullman Kuching pada Ahad.

Jelas beliau lagi, bagi memastikan persiapan kontinjen Sarawak berjalan dengan lancar, pihak pengurusan akan menggantikan atau mengisi kekosongan slot atlet-atlet yang telah keluar dari senarai sebelum ini.

“Mesti ada rancangan ataupun cara kita mencungkil bakat-bakat secara terus-menerus bagi melihat potensi atlet.

“Jadi sekiranya ada seorang dua yang keluar daripada satu-satu sukan itu, mesti ada yang lain.

“Tapi sama ada mereka itu sudah mencapai tahap yang terbaik untuk dapat meraih pingat, itu kita kurang pasti lagi.

 “Saya berharap, yang keluar itu adalah bukan mereka yang dalam kumpulan itulah kerana saya belum melihat secara terperinci lagi siapa yang telah menarik diri itu,” katanya.

Tambah beliau lagi, melepasi usia kelayakan, komitmen pekerjaan, berkahwin dan ditawar melanjutkan pelajaran di universiti merupakan antara punca atlet menarik diri daripada temasya itu yang sepatutnya berlangsung di Johor pada 2020 namun terpaksa ditunda sebanyak dua kali akibat penularan wabak COVID-19.-EDISI UKAS

add comment