Pentas RTM Kembali Semarakkan Sambutan Tahun Baharu Cina 2022 Di Miri

ISNIN, 24 JANUARI 2022

MIRI: Pentas Tahun Baharu Cina 2022 kembali diadakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Bintang Megamall, Miri pada Ahad.

Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, program ini telah kembali menyemarakkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina bagi penduduk Cina di Miri pada tahun ini.

“Kita tidak dapat mengadakannya pada tahun lepas disebabkan pandemik COVID-19 tetapi pada tahun ini kita dapat mengadakannya untuk memeriahkan perayaan ini,” katanya semasa berucap dalam majlis tersebut.

Datuk Sebastian Ting menambah, Pentas Tahun Baharu Cina 2022 kali ini merupakan kali ke-12 diadakan.

Sejurus selepas berucap, beliau telah menyempurnakan simbolik perasmian program tersebut dan majlis diteruskan dengan persembahan nyanyian dan tarian.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Seksyen Radio mewakili Pengarah Penyiaran Negeri Sarawak Marrill Chunggat, Pengurus Stesen RTM Miri Lydia Paya Rinyud, Jurutera RTM Miri Mohamad Irfan Sanif, dan Pengerusi Persatuan Wartawan Sarawak Utara (NSJA) Andy Jong Wan Joon.-EDISI UKAS

add comment