RM220,000 Diluluskan Bagi Membangunkan Kemudahan Di Kampung Duyoh

ISNIN, 24 JANUARI 2022

BAU: Peruntukan sebanyak RM220,000 telah diluluskan bagi membangunkan pelbagai kemudahan untuk manfaat penduduk Kampung Duyoh.

Menteri Muda Pengangkutan II Sarawak, Dato Henry Harry Jinep berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM150,000 diperuntukkan bagi membina baru gelanggang futsal menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar (RTP) bagi tahun 2022.

Manakala peruntukan di bawah dana Projek Kecil Luar bandar (MRP) bagi tahun sama pula adalah untuk penambahbaikan rumah Gawai sebanyak RM10,000 serta balai raya kampung Duyoh sebanyak RM30,000 bagi kerja-kerja memasang siling dan dinding.

Selain itu, peruntukkan MRP berjumlah RM30,000 juga turut diluluskan untuk Jagoi Action Development Committee (JADC).

Dato Henry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru mengumumkan peruntukan itu semasa menghadiri program bersama komuniti Kampung Duyoh pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan di atas sokongan penduduk Kampung Doyuh kerana telah memberi kemenangan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri yang lalu sambil menambah penduduk kampung berkenaan mahu kemajuan yang berterusan daripada kerajaan negeri. -EDISI UKAS

add comment