Hujan Lebat Di Utara Sarawak, Penduduk Siap Siaga Kemungkinan Banjir

SELASA, 25 JANUARI 2022

LIMBANG: Hujan lebat yang berterusan turun dan menyebabkan air sungai naik di beberapa kawasan di kawasan Utara Sarawak pada Selasa.

Tinjauan ke kawasan hujung Pekan Medamit mendapati keadaan air deras dan paras air sama dengan kawasan tebingan.

Walau bagaimanapun, warga kerja di sekolah dan klinik serta pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Medamit masih meneruskan aktiviti seperti biasa dan diminta berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan kemungkinan banjir yang akan berlaku pada bila-bila masa.

Sementara itu, penduduk sekitar di seluruh Telang Usan diarah bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan banjir berlaku sekali lagi.

Beberapa kawasan di Ulu Baram seperti Kampung Long Moh di Kedaya Telang Usan juga sudah dinaiki air pada paras membimbangkan.

Manakala, beberapa Kawasan di daerah Subis juga turut dinaiki air seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tangap dan Rumah Nelson Ningkan.

Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Subis, keadaan masih lagi terkawal.

Kesemua agensi yang terlibat telah diarahkan untuk memantau perkembangan banjir dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.- EDISI UKAS

add comment