Jejambat Nyabau Dibuka Kepada Umum Bermula Tengah Malam Selasa

SELASA, 25 JANUARI 2022

BINTULU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memaklumkan Jejambat Nyabau (Nyabau Interchange) Pakej Kontrak Kerja 10 Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) akan dibuka kepada orang awam bermula 25 Januari 2022, Selasa bermula 11.59 malam ini. 

JKR Sarawak dalam kenyataan media pada Selasa berkata, laluan yang akan dibuka adalah dari laluan utama menuju ke arah Miri (bermula dari arah lampu isyarat Bintulu ke Miri) dan laluan utama menuju ke arah Sibu (bermula dari lampu isyarat Bintulu ke Sibu. 

“Jejambat Nyabau merupakan salah satu jejambat (interchange/flyover) yang terdapat di bawah jajaran Seksyen Nyabau iaitu salah satu daripada tiga jajaran seksyen di bawah WPC10 selain daripada jajaran Seksyen Niah dan Bakun. 

“Pengguna-pengguna jalan raya diingatkan untuk berhati-hati apabila menggunakan jejambat ini nanti seperti mematuhi had kelajuan maksima (60kmj), tidak melepak atau berhenti di atas jejambat, tidak melakukan kerosakan (vandalisma), berlumba serta berjalan atau berlari (jogging) di atas jejambat berkenaan demi keselamatan semua,” katanya. 

Jejambat Nyabau merupakan jejambat Lebuhraya Pan Borneo Interchange terpanjang di Sarawak sepanjang 1.23 kilometer. 

Pengguna-pengguna jalan raya juga dinasihati merancang perjalanan di kawasan-kawasan yang terlibat dengan kerja-kerja pembinaan LPB. 

Sebarang aduan atau pertanyaan lanjut berkaitan trafik, sila hubungi Unit Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, JKR Sarawak di talian 082-230879 atau Norsharizal (TMO) talian 011-12605145. -EDISI UKAS

add comment