Kebocoran Paip Utama Jejaskan Lebih Kurang 4,000 Isi Rumah Di Sarikei

SELASA, 25 JANUARI 2022

SARIKEI: Kebocoran paip utama akibat kerja-kerja pembinaan Jalan Pan Borneo mengganggu bekalan air di beberapa kawasan di bahagian Sarikei.

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dalam kenyataan media pada Selasa berkata, gangguan bekalan air itu telah menjejaskan lebih kurang 4,000 isi rumah.

“Kontraktor Pan Borneo telah diminta menyiapkan kerja-kerja tersebut (kebocoran paip utama) dengan segera untuk mengurangkan impak besar gangguan bekalan air kepada para pengguna di kawasan-kawasan yang terjejas.

“Antara kawasan yang terjejas ialah Jalan KJD Meradong, Skim B, seluruh kawasan Pakan (kecuali Pekan Pakan), sepanjang Jalan Bulat dari Sungai Rusa sehingga Sungai Joh, Kesa Baron, Kesa, Jalan Onn Dian, Sungai Garan, Jalan Friendship, Jalan Cola dan Simpang Pakan,” katanya.

Dalam pada itu, JBALB Sarawak akan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini melalui media sosial dan orang ramai boleh menghubungi JBALB Call Centre di talian 082-262211 untuk mendapatkan maklumat dan informasi terkini.-EDISI UKAS

add comment