Kerajaan Sarawak Hargai Komitmen Penjawat Awam Laksana Tugas Ketika Pandemik

SELASA, 25 JANUARI 2022

KUCHING: Penyampai perkhidmatan Kerajaan Sarawak telah menjalani transformasi yang besar dalam memastikan semua dasar, program dan projek kerajaan benar-benar disampaikan kepada rakyat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion memberitahu, Kerajaan Sarawak amat bertuah kerana hubungan di antara perkhidmatan awam dan kepimpinan politik amat rapat dalam memenuhi keperluan rakyat.

“Kami sememangnya bertuah untuk mempunyai hubungan rapat antara perkhidmatan awam Sarawak dan kepimpinan politik kerana ianya adalah asas dalam memenuhi permintaan dan keperluan rakyat yang sentiasa berubah.

“Hubungan ini dapat memperkasakan kita dalam merebut setiap peluang untuk membina semula Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.

Datuk Amar Jaul menegaskan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan awam amat penting untuk Sarawak terus maju ke arah ekonomi dan taraf hidup berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Perkhidmatan Awam Negeri (SCS) perlu mempersiapkan diri dalam memenuhi permintaan dan jangkaan yang semakin meningkat untuk penyampaian perkhidmatan yang memfokuskan pelanggan dan berpaksikan rakyat,” ujarnya.

Selain itu, Datuk Amar Jaul turut menambah, Kerajaan Sarawak telah memulakan pendekatan baharu dalam melaksanakan perkhidmatan dalam talian kerajaan melalui Sistem Pengurusan Perkhidmatan Bersepadu (ISM).

Jelasnya, ISM menyediakan persekitaran kerja bersepadu yang menghubungkan semua proses dan perkhidmatan di kalangan agensi di mana prestasi perkhidmatan dapat dipantau melalui ‘dashboard’. -EDISI UKAS

add comment