Kerjasama Erat Wakil Rakyat Dengan Pelbagai Agensi Penting Bangunkan Sesebuah Kawasan

SELASA, 25 JANUARI 2022

SERIAN: Hubungan baik serta kerjasama erat wakil rakyat dan pelbagai agensi di sesebuah daerah penting dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, kerjasama agensi negeri dan persekutuan juga mustahak begi merancang dan melaksanakan pembangunan khususnya di kawasan Tebedu.

Menurutnya, beliau mohon agar hubungan baik itu diteruskan demi perkhidmatan yang baik kepada rakyat samada di bandar dan luar bandar.

“Tanggungjawab sesebuah agensi harus dilaksanakan bersama agar segala bebanan, maka cabaran mampu dipikul bersama.

“Tahniah dan syabas kepada pihak Majlis Daerah Serian (MDS) kerana telah mampu melakukan yang terbaik di dalam pelbagai perkhidmatannya untuk rakyat di kawasan DUN Tebedu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri taklimat projek di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) khas bagi kawasan DUN Tebedu pada Isnin.

Dr Simon Sinang menambah, MDS merupakan rakan strategik di antara pelbagai agensi di bahagian Serian.

Katanya, MDS telah memainkan peranan penting di dalam pembangunan serta pelaksanaan pelbagi projek untuk rakyat di kawasan Tebedu.

Sementara itu, Setiausaha MDS, Constantine Jones Noeb memberitahu, pihaknya akan memberi kerjasama dan sokongan padu kepada ADUN Tebedu dalam membawa kemajuan di konstituensi tersebut.-EDISI UKAS

add comment