Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad Terus Komited Perangi Dadah

SELASA, 25 JANUARI 2022

BINTULU: Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) terus komited untuk memerangi dadah terutama sekali dalam kalangan kakitangannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato Mohammad Medan Abdullah berkata, pendedahan dan didikan kepada kakitangan adalah sangat penting supaya premis syarikat sentiasa bebas daripada dadah dan bahan terlarang.

“Pekerja kita adalah aset terpenting dan tanpa mereka, kita tidak akan berada di tahap pencapaian sekarang,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perancaran Kempen Anti-Dadah di Hotel Parkcity Everly pada Isnin.

Mengulas mengenai kempen itu, Dato Mohammad Medan berkata, Kempen Anti-Dadah 2022 yang bertemakan “Sayangi Diri Anda, Sayangi Keluarga Anda, Bebas Dari Dadah” memberi tumpuan kepada usaha bagi mewujudkan persekitaran pekerjaan yang selamat dan mementingkan kesejahteraan serta kesihatan pekerja.

“Kempen ini berbeza daripada kaedah konvensional yang hanya memberi fokus kepada penolakan dadah dan bahan.

“Ia lebih memberi keutamaan kepada usaha mendidik kakitangan Kumpulan BPHB tentang kesan penyalahgunaan buruk dadah dan bahan terlarang serta cara untuk mendapatkan bantuan,” jelasnya.

Kempen ini akan berlangsung mulai Januari 2022 hingga Mac 2022 yang mana pelbagai aktiviti akan dijalankan seperti seminar kesedaran, aktiviti-aktiviti korporat dan lain-lain program yang bertujuan untuk memberi inspirasi kepada semua kakitangan kumpulan BPHB dalam memerangi penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.-EDISI UKAS

add comment