Penubuhan LEDC Berjaya Tingkatkan Taraf Pendidikan Di DUN Layar

SELASA, 25 JANUARI 2022

BETONG: Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar (LEDC) yang ditubuhkan berjaya membawa perubahan dan peningkatan taraf pendidikan di kawasan DUN Layar. 

Menteri Muda Pembangunan Belia dan Sukan, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, beliau yakin usaha yang diambil oleh pihak jawatankuasa merupakan satu langkah untuk membantu Pejabat Pendidikan Daerah Betong dalam menyediakan bahan pembelajaran untuk pelajar.

“Jawatankuasa ini bukan sahaja menyediakan bantuan pembelajaran tetapi guru juga diberi latihan tambahan oleh pakar dalam pendidikan awal kanak-kanak dengan penekanan penguasaan bahasa Inggeris,” kata Dato Gerald Rentap pada majlis penghargaan untuk guru Jolly Phonics di Pusat Khidmat DUN Layar, pada Ahad.

“Kita sedia maklum bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang serupa di seluruh negara, tetapi untuk melihat peningkatan murid membaca dan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan pantas, sememangnya berkesan melalui kaedah pengajaran Program Jolly Phonics,” katanya.

Pada majlis tersebut ADUN Layar telah menyerahkan barangan keperluan pembelajaran seperti bahan rujukan kepada pelajar Darjah 4, 5 dan 6.

Selain itu, bahan rujukan pembelajaran dan komputer riba turut diberikan kepada pelajar tingkatan 5 dan tingkatan 6 untuk membantu mereka dalam pelajaran.

Untuk rekod, hanya kawasan DUN Layar sahaja yang mempunyai jawatankuasa tersebut bagi membantu para pelajar dalam pembelajaran Bahasa Inggeris dan mendapat sokongan dari Jabatan Pendidikan Negeri  bagi meningkatkan standard pendidikan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa, Paul Langgang dan Penyelaras Program Dr Keling Stevenson Acheh.-EDISI UKAS

add comment