Polis Bintulu Pantau Kawasan Kerap Banjir

SELASA, 25 JANUARI 2022

BINTULU: Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Daerah Bintulu telah mengadakan pemantauan dan rondaan di kawasan yang berlaku banjir di Bintulu pada Selasa. 

Antara kawasan yang dipantau ialah Kampung Sinong, Kampung Dato, Kampung Kemunting, Kampung Baru Laut Kampung Baru Tengah, Gem Park, Jalan Ing Ling Residence, Jalan Tanjong Kidurong, Kidurong Avenue, Penempatan Setinggan Sungai Sebatang, Jalan Bintulu Port, Kampung Sungai Plan, Rumah Andy Kampung Banyai, Rumah Anthony Sungai Silas, Rumah Nyaing, Jalan Ulu Segan, Kampung Segan dan Jalan Ulu Sebauh. 

Menurut Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, pemantauan ini adalah bagi mendapatkan maklumat awal untuk disalurkan kepada agensi kerajaan yang terlibat.

Dalam pada itu, Polis Daerah Bintulu juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengikut arahan daripada pihak berkuasa sekiranya banjir berlaku antaranya pindah segera ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), jangan membiarkan anak-anak bermain air banjir yang boleh mengakibatkan penyakit merbahaya dan mengancam nyawa, elakkan meredah kawasan yang ditenggelami air, tutup semua suis utama elektrik, injap bekalan air dan gas, jangan hampiri dawai atau kabel elektrik yang jatuh ke dalam air, simpan dokumen penting dalam kalis air, pastikan bekalan ubat mencukupi dan simpan bekalan makanan dan air bersih mencukupi.-EDISI UKAS

add comment