10 Anak Sarawak Terima Anugerah ‘Productivity Champion’ 2022

RABU, 26 JANUARI 2022

KUCHING: Seramai 10 individu dari Sarawak menerima Anugerah ‘Productivity Champion’ 2022 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini pada Selasa.

Hadir menyempurnakan penyampaian anugerah tersebut ialah Ketua Pengarah MPC, Dato’ Abdul Latif Abu Seman serta Ahli Lembaga Pengarah MPC, Datuk Abang Karim Tun Abang Openg.

Berucap di majlis tersebut, Dato’ Abdul Latif berkata, anugerah tersebut bertujuan bagi memberi pengiktirafan kepada individu-individu yang bergiat aktif dalam memacu agenda peningkatan produktiviti di peringkat negara, industri dan organisasi.

“Pada tahun lepas, seramai 83 individu yang telah kita berikan pengiktirafan ‘Productivity Champion’ yang merangkumi tiga kategori.

“Kategori pertama ialah ‘Leader’, yang kedua ‘Practitioner’ dan yang ketiga pula adalah ‘Talent’.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 10 individu adalah dari Sarawak yang mempunyai ciri-ciri yang kita cari untuk diiktiraf,” katanya.

Tambahnya, usaha tersebut adalah untuk mempercepat peningkatan produktiviti yang diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 serta menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti buruh yang lebih tinggi.

Beliau juga berharap, agar lebih ramai individu yang akan memperoleh anugerah ini pada masa akan datang.-EDISI UKAS

add comment