ADUN Bukit Semuja Agih Buah Limau Kepada Warga Sekolah Menengah Awam Serian dan SJK (C) Pangkalan Bedup Serian

RABU, 26 JANUARI 2022

SERIAN: Sempena sambutan Tahun Baru Cina Tahun 2022, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Bukit Semuja, John Ilus turun padang bagi menyantuni dan mengagihkan limau mandarin kepada pelajar dan guru di Sekolah Menengah Awam Serian dan SJK (C) Pangkalan Bedup Serian pada Rabu.

Pengagihan limau mandarin bermula pada pukul 9 pagi di Sekolah Menengah Awam Serian yang mempunyai lebih kurang 200 pelajar dan 14 guru.

Kehadiran ADUN Bukit Semuja disambut oleh Pengetua Sekolah Menengah Awam Serian, Huang Ping yang kemudiannya mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan wakil rakyat dan terharu dengan kedatangan beliau ke sekolah tersebut bagi mengagih limau mandarin kepada pelajar.

Selepas itu, pengagihan limau mandarin diteruskan di SJK (C) Pangkalan Bedup dan kedatangan rombongan John Ilus disambut oleh guru besar sekolah berkenaan, Chai Min Nga.

Sekolah berkenaan terdiri daripada 117 murid dan 13 orang guru.

Sementara itu, John Ilus memberitahu, program tersebut dianjurkan untuk menzahirkan rasa kebersamaan dan secara tidak langsung dapat memupuk nilai perpaduan di kalangan masyarakat.

Katanya, kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak antara lambang perpaduan, keharmonian dan kekuatan rakyat di negeri ini yang menjurus kepada kemakmuran hidup bersama.

Beliau turut berpesan kepada masyarakat agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan Tahun Baru Cina yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan membudayakan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Turut hadir, Timbalan Ketua Cawangan N.23 Bukit Semuja, Franchis Linjas, Pemanca Chai Min Lee, Temenggung Gee Ah Chok, Kapitan Bong Kuat Khiong serta barisan Exco Wanita PBB Bukit Semuja. -EDISI UKAS

add comment