Dato’ Sri Huang Sumbang RM1 Juta Kepada 34 Sekolah Di DUN Repok

RABU, 26 JANUARI 2022

SARIKEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii telah menyumbangkan RM1 juta kepada 34 buah sekolah rendah dan sekolah menengah di DUN Repok.

Beliau menyerahkan cek sumbangan itu dalam satu majlis bertempat di Grand Empire Palace Restaurant, Sarikei pada Selasa.

Menurut Dato’ Sri Huang, sumbangan peribadi tersebut adalah sebagai bantuan aktiviti tahunan sekolah di konstituensi beliau serta bertujuan untuk meringankan beban ibu bapa pada awal persekolahan anak-anak mereka.

“Sepanjang tempoh ini, semua sedia maklum yang saya sangat menitikberatkan pendidikan.

“Sepanjang saya menjadi wakil rakyat sejak tahun 2016, saya berusaha gigih setiap tahun untuk mendapatkan peruntukan Projek RTP daripada Kerajaan GPS yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk menaiktaraf prasarana dan kemudahan sekolah,” katanya.

Tambah Dato’ Sri Huang, beliau turut memberi bantuan bahan persekolahan seperti pakaian seragam sekolah, kasut sekolah dan beg sekolah kepada semua murid di kawasan Repok tanpa mengira bangsa, kaum dan agama sejak tahun 2019.

Dalam majlis sama, beliau turut menyumbangkan cek bernilai RM100,000 kepada Tadika Sze Hua untuk melaksanakan aktiviti tahunan sekolah tersebut.

Dato’ Sri Huang juga berharap agar sumbangan itu dapat dimanfaat sebaiknya oleh pihak sekolah bagi mewujudkan persekitaran persekolahan yang selesa dan harmoni.-EDISI UKAS

add comment