Datu Ik Pahon Tinjau Operasi ICQS Biawak

RABU, 26 JANUARI 2022

LUNDU: Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar), Datu Ik Pahon Joyik bersama rombongan meninjau operasi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak pada Rabu.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melakukan tinjauan di ICQS Biawak itu bagi memastikan tahap kesiapsiagaan membawa masuk barangan makanan dari Indonesia ke Malaysia yang dijangka bermula tidak lama lagi.

Sebelum itu, Datu Ik Pahon telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Tatacara Pengimportan Barang Makanan Indonesia-Malaysia di Pejabat Daerah Lundu.

Semasa mesyuarat tersebut, garis panduan dan tatacara bagi tujuan pengimportan barangan makanan dari Indonesia ke Malaysia telah dikemaskini mengikut keadaan semasa khususnya ketika tempoh pelaksanaan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Jelas beliau lagi, dengan adanya garis panduan ini, ianya akan membantu merancakkan semula ekonomi setempat di samping memberikan kepelbagaian sumber makanan kepada pembeli di pasaran.

Turut mengiringi beliau ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, Pegawai Tadbir Khas Pejabat Residen Bahagian Kuching, Dr Cheong Yaw Liang serta pegawai kerajaan lain. -EDISI UKAS

add comment