JPBD Marudi Nasihat Penduduk Waspada Kemungkinan Banjir

RABU, 26 JANUARI 2022

BARAM: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Marudi menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah untuk berwaspada kerana bermungkinan berlaku banjir susulan hujan berterusan sejak Selasa.

JPBD Marudi memaklumkan, paras air sungai di beberapa kawasan di wilayah utara telah mengalami kenaikan selepas hujan yang berterusan.

Sementara itu, tinjauan mendapati kawasan rumah panjang Vincent Tanjung mula dilimpahi air sungai namun masih keadaan masih lagi terkawal.

Selain itu, kebanyakan kawasan di Pekan Long Lama serta Kampung Long Laput juga sudah mula dinaiki air.

Para penduduk mula bergegas untuk memindahkan barang-barang dan kenderaan ke kawasan tinggi.

Penduduk Kampung Long Laput pula menghadapi masalah terputus bekalan elektrik menyebabkan kesukaran untuk memindahkan harta benda ke kawasan selamat kerana keadaaan gelap.

Manakala di Limbang, hujan lebat berkala di kawasan ulu Limbang telah menyebabkan berlaku limpahan air sungai di beberapa kawasan seperti Sungai Limbang di Kampung Medamit, Ukong dan Tanjong.

Perkara ini menyebabkan beberapa jalan perhubungan penduduk Kampung Tanjong terputus dan tidak selamat untuk dilalui kenderaan kecil. -EDISI UKAS

add comment