RABU, 26 JANUARI 2022
KUCHING: Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperuntukkan RM76 juta bagi pembinaan jalan dari Ulu Gedong menuju ke Gedong.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, peruntukan tersebut adalah salah satu inisiatif kerajaannya meneruskan usaha pembangunan terutama di kawasan pendalaman Gedong.
Menurutnya, ia merupakan usaha kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan jalan raya yang selesa kepada rakyat dalam jangka masa panjang.
“Ini termasuklah jalan daripada Semalatong iaitu Ulu Gedong yang akan kita bangun terus ke Gedong. Ini sekaligus menyingkatkan perjalanan dari Ulu Gedong ke Gedong. Peruntukan yang telah saya luluskan lebih kurang dalam RM76 juta untuk kita bangunkan jalan ke Semalatong, ini hanyalah permulaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Apresiasi N.26 Gedong di Imperial Hotel di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Ketua Menteri memberitahu, sebanyak RM30 juta juga diperuntukkan bagi pembinaan tali air di Lubuk Punggor telah diluluskan untuk membangunkan kawasan tersebut.
Katanya, projek berkenaan bakal memacu pembangunan kawasan Lubuk Punggor sekaligus menjadikan kawasan tersebut sebagai pengeluaran sektor pertanian di Sarawak
Turut hadir dalam majlis tersebut, isteri kepada Ketua Menteri Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosio Ekonomi), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris dan Pengerusi Majlis Makan Malam Apresiasi N26 Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais. -EDISI UKAS