Kerajaan Sarawak Terus Bantu Tambah Baik Fasiliti Hospital Umum Sarawak

RABU, 26 JANUARI 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa memastikan fasiliti di Hospital Umum Sarawak (HUS) ditambah baik bagi persiapan menghadapi sebarang kemungkinan pesakit COVID-19 untuk menerima rawatan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM1.3 juta bagi pemasangan ‘ventilation point’ di HUS.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu juga menjelaskan, satu lagi unit rawatan rapi (ICU) hibrid juga bakal dibina Februari ini dan 10 katil akan ditambah untuk unit berkenaan.

“Satu lagi ICU hibrid akan dibina dan kerja pelaksanaannya akan bermula Februari ini.

“Sebanyak 10 buah katil tambahan untuk ICU dan ini bermakna peningkatan bilangan katil bertujuan sekiranya diperlukan untuk pesakit COVID-19 di kemudian hari,” katanya selepas melakukan tinjauan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada Rabu.

Datuk Amar Douglas menambah, Kerajaan Sarawak juga bersetuju untuk memperuntukkan kira-kira RM500,000 untuk memulihkan paip gas pada salah satu bahagian di HUS dan 40 katil lagi akan disediakan.

“Kami juga telah bersetuju untuk memperuntukkan kira-kira setengah juta bagi membantu memasang paip gas dan selepas pelaksanaannya selesai, 40 buah katil lagi akan diberikan,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan Dan Perumahan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, operasi hospital hampir pulih seperti biasa susulan daripada penurunan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini.

“Hospital kini sudah mulai beransur pulih dan segala operasi yang tertunda dahulu sudah dapat dilaksanakan seperti biasa memandangkan bilangan kes COVID-19 telah menurun secara drastik.

“Bilangan katil ICU untuk pesakit COVID-19 juga telah dikurangkan bagi menyediakan fasiliti untuk prosedur perubatan lain,” jelasnya. -EDISI UKAS

add comment