Kolaborasi Promosi Pantai Tanjung Kembang Kabong

RABU, 26 JANUARI 2022

KABONG: Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK) telah menjalinkan kolaborasi dengan syarikat HK Enterprise untuk mempromosikan Pantai Tanjung Kembang Kabong dengan menggunakan kemudahan yang sedia ada.

Ke arah itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir menyatakan kesungguhan beliau menyokong penganjuran aktiviti-aktiviti di Pantai Tanjung Kembang Kabong dalam mempromosikan sektor pelancongan daerah Kabong sekali gus merancakkan ekonomi penduduk setempat.

Sebelumnya pada 10 September 2021, pihak LAKIK bersetuju menerima tawaran daripada pihak Majlis Daerah Saratok (MDS) untuk menyelia sebahagian aset prasarana di Pantai Tanjung Kembang, Kabong.

Usaha tersebut bertujuan memberikan pulangan kepada masyarakat Kabong sendiri dalam menerima faedah dan manfaat hasil Projek RTP ADUN Kabong selain sebagai aset LAKIK.

Pada Selasa, Mohd Chee menghadiri Majlis Kesyukuran anjuran bersama LAKIK dan pengurusan HK Enterprise di Dewan Terbuka Pantai Tanjung Kembang, Kabong.

Pada majlis tersebut, turut disempurnakan simbolik penyerahan kuasa pengurusan dan penyelenggaraan kemudahan prasarana Pantai Tanjung Kembang Kabong oleh Pengerusi LAKIK kepada HK Enterprise yang disaksikan Mohd Chee.

Turut Hadir wakil Pegawai Daerah Kabong, Ahmad Sabree Salleh; Penghulu Sani Mohamad; Pengerusi LAKIK, Kaunselor Ulin Berody; Pengurus HK Enterprise, Hamif Kamaludin; Ketua-Ketua Masyarakat dan jemputan lain. – EDISI UKAS

add comment