RABU, 26 JANUARI 2022
BINTANGOR: Sebanyak lapan pasukan bakal berentap merebut kejuaraan Kejohanan Tenis Piala Pengarah Institut Penguruan Rajang (IPG) Zon Sabah Dan Sarawak 2020 yang akan berlangsung pada 10 hingga 12 Februari 2022.
Kejohanan yang sepatutnya diadakan pada tahun 2020 terpaksa ditunda selama dua tahun berikutan penularan pandemik Covid-19.
Sebagai tanda sokongan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing telah menyumbang peruntukan dan menyokong penuh penganjuran kejohanan tersebut.
Ujarnya, selain memburu kemenangan, kejohanan itu juga penting sebagai platform untuk menjalin hubungan erat sesama peserta yang mengambil bahagian.
Beliau menyatakan sokongannya semasa mengadakan lawatan ke IPG Kampus Rajang Bintangor pada Selasa untuk sesi bergambar bersama dengan Pengarah IPG Kampus Rajang Bintangor yang baharu, Dr Abang Ismail Abg Julhi.
Sementara itu, Datuk Ding berkesempatan meninjau Jalan Kebun KJD Bintangor yang dilaporkan banyak berlubang.
Jalan tersebut mempunyai ramai pekebun yang menanam pelbagai buah-buahan dan kerosakan menyukarkan mereka untuk menjalankan aktiviti penanaman.
Datuk Ding memberitahu, beliau amat memahami keadaan berkenaan kerana pada setiap hujung tahun adalah musim hujan dan jalan utama kebun itu adalah sangat becak hingga akan menyukarkan pekebun untuk keluar masuk mendapatkan hasil tanaman mereka.
Sehubungan itu, beliau akan cuba memohon peruntukan untuk membaikpulih jalan berkenaan bagi memudahkan pekebun menjalankan aktiviti harian mereka. – EDISI UKAS