Mendiang Datuk Simon Dembab Maja Selamat Dikebumikan

RABU, 26 JANUARI 2022

ENGKILILI: Mendiang bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Simon Dembab Maja telah selamat dikebumikan di Engkilili pada Rabu.

Upacara pengebumian disempurnakan di kampung halaman mendiang di Selindung, Engkilili.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.

Mendiang antara pengasas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada 1973 selepas dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri dalam kerajaan campuran Sarawak pada 1970 ketika bersama Parti Pesaka.

Kerajaan Sarawak pada masa itu adalah kerajaan pertama yang dipilih menerusi pilihan raya dengan 48 kerusi dan 221 calon yang bertanding.

Mendiang meninggal dunia pada usia 85 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di Kuching pada Sabtu lepas meninggalkan balu Datin Rosalind Siti Jemeni, tiga anak, tiga cucu dan dua cicit. -EDISI UKAS

add comment