Semua Pihak Perlu Bekerjasama Dengan Warga Sekolah Tingkatkan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Pendidikan

RABU, 26 JANUARI 2022

KOTA SAMARAHAN: Kerjasama dan penglibatan semua pihak dengan warga sekolah amat diperlukan dalam membangunkan sistem penyampaian perkhidmatan pendidikan.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang memberitahu, satu permuafakatan yang padu dengan pihak sekolah perlu dibentuk bagi membolehkan sebarang cadangan dan idea diambil kira dalam meningkatkan infrastruktur pendidikan di sesebuah kawasan.

Jelasnya, sebagai contoh, Kota Samarahan adalah merupakan antara kawasan yang paling banyak menerima projek baik pulih sekolah daif di Sarawak yang melibatkan 34 buah sekolah dan sebahagian daripada pelaksanaan projek sedang dijalankan.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian baucar bantuan persekolahan kepada 80 orang murid dari lapan buah sekolah yang melibatkan Zon Ladang Samarahan dan Zon Semeran di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen P197 Kota Samarahan pada Selasa.

Rubiah memaklumkan, penerima bantuan ini menerima baucar bernilai RM100 untuk membeli pakaian dan peralatan sekolah bagi meringankan beban ibu bapa yang terkesan akibat pandemik COVID-19 untuk melengkapkan keperluan anak mereka ke sekolah. -EDISI UKAS

add comment