Teruskan Momentum Sokongan Kepada GPS Pada PRU15 Akan Datang – Datuk Amar Awang Tengah

RABU, 26 JANUARI 2022

LAWAS: Sokongan pengundi kaum Cina pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak lepas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari sangat dihargai. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, lebih 90 peratus undi kaum Cina termasuk pengundi muda telah diterima dalam PRN-12 Sarawak lepas. 

“Saya perhatikan bahawa di pusat pembuangan undi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Lawas, Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Lawas dan SK Agama Lawas di mana majoriti masyarakat daripada kaum Cina ini membuang undi. 

“Saya juga dapati hampir semua saluran termasuk saluran pengundi orang muda turut membuang undi dan kita memperoleh undi yang begitu banyak,” katanya. 

Beliau berucap dalam Penyampaian Sumbangan Tahun Cina Daerah Lawas 2022 di Hotel Seri Malaysia pada Selasa. 

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari mahu momentum kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di daerah Lawas ini diteruskan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang. 

Katanya, ini bagi membolehkan suara masyarakat di daerah Lawas ini didengari di Parlimen nanti. 

“Momentum ini haruslah kita pertahankan supaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kemenangan akan memihak kepada kita supaya Lawas ini akan terus menjadi kubu kuat GPS.

“Ini membolehkan suara kita akan lebih kuat, suara kita masin dan orang akan mendengar suara kita,” ujarnya. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato’ Henry Sum Agong, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidillah Abdul Latiff, Pemanca Tan Yong H’ng dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). -EDISI UKAS

add comment