Azizul Adenan Mahu Jadikan Tanjong Datu Sebagai Hab Pelancongan

KHAMIS, 27 JANUARI 2022

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan mempunyai visi menjadikan kawasan berkenaan sebagai hab pelancongan di Sarawak.

Kenyataan tersebut disampaikan oleh Azizul sendiri semasa berucap di majlis perasmian Bengkel Lundu Development Way Forward N3 Tanjong Datu di Hotel Pullman pada Rabu.

Azizul turut menambah, bagi menuju ke arah visi tersebut, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk memastikan proses pembangunan dari segi infrastruktur mahupun pembangunan insan berjalan dengan lancar sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Dalam pada itu, beliau juga menyeru kepada agensi-agensi yang menghadiri majlis tersebut agar dapat memberikan buah fikiran dalam menghasilkan resolusi pembangunan yang sistematik.

Bengkel pembangunan bagi Tanjong Datu itu diadakan selama 3 hari bermula 26 Januari bertujuan untuk merancang pembangunan insan dan infrastruktur di DUN Tanjong Datu bagi tempoh lima tahun.

Turut hadir, Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani; Pemanca Benjamin Gersit Jais dan Pemanca Ibrahim Suni. -EDISI UKAS

add comment