Guna Teknologi ‘Digital In Car Radar’ Dan ‘ICOPS’ Laksana Op Selamat

KHAMIS, 27 JANUARI 2022

KUCHING: Polis Di Raja Malaysia (PDRM) akan menggunakan teknologi ‘Digital In Car Radar’ dan ‘Intelligent Compound Online Payment System’ (ICOPS) dalam Op Selamat sempena sambutan Tahun Baru Cina akan datang. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, kedua-dua teknologi ini akan digunakan bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap polis. 

“Setakat ini terdapat 5 unit kenderaan peronda yang telah dilengkapi kemudahan tersebut di negeri ini di 5 buah bandar utama seperti Kuching, Miri, Bintulu dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Op Selamat Ke-17 sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2022 di Kuching pada Rabu. 

Mengulas lanjut, penggunaan teknologi baharu itu, Datuk Aidi menjelaskan keberkesanannya telah diuji oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

”Sistem ini terbukti berjaya untuk mengesan kenderaan yang mempunyai rekod kecurian, saman tertunggak dan selainnya melalui nombor pendaftaran,” jelasnya. 

Mengenai Op Selamat di negeri ini, operasi kali ini akan dilaksanakan selama 10 hari bermula 28 Januari hingga 6 Februari 2022 dengan menempatkan pegawai dan anggota di 56 lokasi yang telah dikenal pasti. -EDISI UKAS

add comment