Pelantikan Baharu Ketua Kaum Dan Ketua Masyarakat Di Tebedu

KHAMIS, 27 JANUARI 2022

TEBEDU: Satu majlis penyampaian surat watikah dan sijil diadakan secara ringkas di Tebedu bagi memperkenalkan pelantikan baharu sebagai ketua kaum dan ketua masyarakat di kawasan itu.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pegawai Daerah Tebedu, Joseph Liaw di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Tebedu.

Seramai sembilan orang ketua kaum dan seorang penghulu telah dilantik semula bagi meneruskan tanggungjawab dan peranan memimpin masyarakat di kawasan masing-masing.

Selain itu, terdapat dua lantikan baharu sebagai ketua kaum diberikan kepada Charles Likeng dari Kampung Tesu Mawang dan Christopher Bunar dari Kampung Payau Achau.

Dalam masa sama, dua orang lagi telah diberhentikan perkhidmatan setelah lebih 20 tahun berkhidmat sebagai ketua kaum iaitu Bingam Libai dari Kampung Entubuh dan Lambung Masing dari Kampung Kuhum Mandeg, disebabkan faktor umur dan kesihatan. 

Menurut Joseph Liaw, semua yang dilantik harus bekerja kuat dan memberi komitmen yang tinggi kepada tugasan yang telah diamanahkan oleh rakyat dan kerajaan khasnya, dari sudut pembangunan infra, sosio ekonomi mahupun sosial demi kesejahteraan kampung.

Katanya, setiap pencapaian ketua kaum dan ketua masyarakat akan dinilai dari segi prestasi yang berlandaskan laporan bulanan, program dan tindakan-tindakan proaktif untuk kemajuan kampung. 

Beliau menambah, tempoh pelantikan pertama ketua kaum adalah empat tahun dan disusuli dua tahun dan setahun. 

Justeru, ketua kaum harus memainkan peranan penting sebagai ketua di dalam Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang menjadi penghubung rakyat dengan pejabat kerajaan di kampung.-EDISI UKAS

add comment