Program Integriti Dan Ikrar Rasuah Bantu Bendung Salah Laku Jenayah

KHAMIS, 27 JANUARI 2022

SRI AMAN: Program Integriti Dan Ikrar Rasuah Untuk Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Negeri Dan Pentadbiran Sri Aman 2022 diadakan di Dewan Suarah Sri Aman, pada Rabu.

Menurut Residen Bahagian Sri Aman, Datu Indit Bangai, program sedemikian mampu membantu untuk membendung dan mengatasi salah laku jenayah termasuk pelanggaran tata kelakuan mahupun etika organisasi di kalangan penjawat awam, di samping merupakan usaha kawalan untuk menguruskan integriti dalam organisasi.

Semasa berucap, beliau memfokuskan mengenai latar belakang penubuhan unit integriti, usaha membudayakan integriti dan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP).

Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar program tersebut dapat dijadikan acara tetap tahunan supaya penjawat awam sentiasa diperingatkan mengenai nilai-nilai murni yang perlu diterapkan dalam kehidupan seharian. 

Hadir sama, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Elvis Didit; Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee; Ketua Penolong Pengarah Seksyen Projek Khas Unit Integriti Dan Ombudsman Negeri Sarawak, Wan Mohamad San Drahman serta Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia Negeri Sarawak, Maini Wiliam.-EDISI UKAS

add comment