KHAMIS, 27 JANUARI 2022
KUALA LUMPUR: Garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu ibadah umrah yang dikemaskini Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) telah pun siap sepenuhnya.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, antara SOP baharu yang diperhalusi ialah berkaitan masalah kuarantin dan insuran perlindungan jemaah umrah sekembalinya mereke ke tanah air.
Bagaimanapun, SOP baharu itu masih belum dimuktamadkan dan perlu dibawa meja perbincangan bersama pihak-pihak berkepentingan.
“SOP ini perlu dipersetujui pihak berkaitan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dimuktamadkan,” katanya dalam sidang media Majlis Penyerahan Tradisional Malaysia di MOTAC pada Khamis.
Dalam pada itu, Dato Sri Nancy mengulas mengenai kekeliruan sama ada boleh meneruskan penerbangan umrah pada tarikh 8 Februari seperti yang diumumkan pada Rabu, beliau menjelaskan penerbangan itu tidak semestinya dilaksanakan pada tarikh itu.
Katanya, banyak lagi perkara yang perlu diperhalusi sebelum dimuktamadkan.
“Saya tidak kata boleh terus terbang tetapi ikut perkataan (yang digunakan) boleh bermula,” katanya.
Pada Rabu, beliau telah memaklumkan kabinet bersetuju memutuskan untuk membenarkan semula ibadah umrah bermula 8 Februari depan.
Sementara itu, mengenai tuntutan jemaah akibat penangguhan umrah itu, Dato Sri Nancy berkata pihaknya kini sedang mengadakan sesi perbincangan dengan Lembaga Tabung Haji TH) berkaitan mekanisme pembayaran.-EDISI UKAS