Warisan Songket Sarawak Akan Terus Dimartabatkan

KHAMIS,  27 JANUARI 2022

PADAWAN: Kerajaan Negeri Sarawak melalui Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia akan terus memartabatkan seni warisan songket di negeri ini.

Oleh  itu, pelaksanakan projek OKSHE bersama Penjara Puncak Borneo merupakan perancangan strategik kerajaan Sarawak untuk melahirkan lebih banyak pelopor penenun kain songket dan keringkam.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan), Datu Dr. Sabariah Putit berkata, pelbagai usaha kerajaan negeri dalam membantu meningkatkan produk hasil kain songket dan lebih ramai penenun yang berkemahiran tinggi.

“Kerajaan negeri Sarawak dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia melalui Projek OKSHE Penjara Puncak Borneo akan membina Bengkel Tenun Songket yang baharu di kawasan seluas 2.5 ekar dalam tempoh pelaksanaan projek selama 18 bulan,” katanya.

Justeru, kerajaan negeri Sarawak telah memberikan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi pembinaan Bengkel Songket dan menyalurkan peruntukan berjumlah RM50,000 untuk membaik pulih bengkel sereta perolehan bekalan tenun. 

“Adalah diharapkan dengan kapasiti 100 rumah tenun ini nanti akan dapat menghasilkan keluaran songket dalam kuantiti yang banyak dan memberi peluang kepada penghuni penjara  mengaplikasikan kemahiran tersebut untuk menjana pendapatan sendiri selepas menjalani kehidupan di Penjara Puncak Borneo,” ujarnya.

Datu Dr. Sabariah berkata demikian semasa Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Kerajaan Negeri Sarawak yang diwakili oleh beliau bersama Dato’ Haji Nordin Bin Haji Muhamad dari Jabatan Penjara Malaysia yang mewakili Kerajaan Persekutuan di Auditorium Sri Kenyalang, Penjara Puncak Borneo, Kuching pada Rabu.

Majlis menandatangani memorandum tersebut disaksikan oleh isteri Ketua Menteri Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang yang merupakan penaung Projek Inovasi Warisan Sarawak: Songket dan Keringkam.

Untuk rekod, bengkel SaraPride ditubuhkan sejak 13 November 2019 sehingga kini telah menghasilkan 226 helai kain songket, 24 rumah tenun dan 38 orang penenun dengan penglibatan daripada pelbagai agensi terutamanya Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS), CENTEXS Commercial (CCS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan komuniti songket Sarawak.-EDISI UKAS

add comment