Gelandangan Juga Perlu Dilindungi Dari Wabak Covid-19: Dato Sri Fatimah

JUMAAT, 28 JANUARI 2022

SIBU: Golongan gelandangan tidak seharusnya dipinggirkan dari mendapatkan vaksinasi kerana mereka juga perlu dilindungi daripada jangkitan COVID-19.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata seramai 124 gelandangan di Sarawak telah melengkapkan vaksinasi menerusi Program Vaksinasi Komuniti Gelandangan.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Sesi Libat Urus Bersama Rakan Strategik Tempat Transit Gelandangan (TTG) di Jalan Sanyan Sibu pada Khamis.

Seramai enam orang gelandangan turut disuntik vaksin dos penggalak COVID-19 manakala seorang individu diberikan suntikan dos vaksin jenis Cansino dalam program tersebut.

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah berkata dengan kemudahan TTG yang disediakan dapat memberikan sedikit keselesaan kepada gelandangan di Sibu di samping memberikan sokongan sosial kepada mereka.

Menurutnya, setakat ini, rekod gelandangan yang dibawa ke TTG Sibu daripada Disember 2021 sehingga Januari 2022 adalah seramai 17 orang manakala sembilan orang telah keluar.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak), Datuk Rosey Yunus; Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (Kesejahteraan Komuniti), Mohamad Razi Sitam; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Noriah Ahmad dan Residen Bahagian Sibu, Wong Hee Sieng. – EDISI UKAS

add comment