Masjid Baharu Kampung Penasu, Daro Mula Dibina April Ini

JUMAAT, 28 JANUARI 2022

DARO: Impian penduduk Kampung Penasu, Daro untuk memiliki masjid baru yang ditempatkan di kawasan yang lebih selamat bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Ia selepas Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM1.15 juta untuk membina baharu masjid berkenaan di tapak berdekatan dengan penempatan semula penduduk Kampung Penasu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, kerja-kerja pembinaan masjid tersebut dijangka bermula pada April ini.

“Projek ini merupakan salah satu Projek Rakyat yang telah diluluskan oleh YAB Ketua Menteri ketika lawatan beliau ke Kampung Penasu pada 2018 yang lepas,” katanya kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) Daerah Daro Dewan Serbaguna Kpg. Penasu Daro pada Khamis.

Sebelumnya, Safiee telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pembinaan Masjid Baharu Kampung Penasu Daro di Bangunan Pusat Sumber JKKK Kampung Penasu Daro.

Difahamkan, masjid lama yang didirikan sejak berpuluh tahun lepas kini semakin dekat dengan tebingan sungai yang mengalami fenomena hakisan.

Sementara itu, Safiee menjelaskan program AgriCOP merupakan salah satu pendekatan Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian untuk memperkasakan golongan petani yang telah diberikan bantuan input pertanian.

Menurut, program tersebut adalah yang ketujuh dilaksanakan di kawasan Daro dan disertai seramai 60 peserta dari Kampung Penasu dan beberapa rumah panjang dari Nanga Semah Daro.

Beliau juga berharap peserta kursus memanfaatkan peluang ini untuk mempertingkatkan lagi kemahiran mereka dalam bidang pertanian. – EDISI UKAS

add comment