Pejabat Residen Sibu Anjur Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan

FRIDAY, 28 JANUARI 2022

SIBU: Pejabat Residen Bahagian Sibu dengan kerjasama stesen minyak Petronas Powerfill Enterprise telah menganjurkan kempen Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) sempena musim perayaan yang diadakan di Seduan Land District Jalan Lanang Barat, Sibu pada Khamis.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut, Penasihat Kesihatan Awam Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chieng Boon Toon dengan mengedarkan barangan kempen serta risalah kepada pengguna jalan raya yang melalui stesen minyak tersebut.

Menurut Datuk Chieng, semua pengguna jalan raya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah serta merancang perjalanan dengan sempurna bagi mengelakkan pemanduan yang membahayakan nyawa.

“Seperti yang semua maklum, Lebuhraya Pan Borneo masih dalam proses pembinaan dan sesetengah jalanraya juga dalam keadaan yang kurang baik.

“Sekarang juga musim hujan dan saya menyeru kepada semua pengguna jalanraya untuk sentiasa berhati-hati ketika memandu dan diharap semua selamat sampai ke destinasi untuk meraikan perayaan Tahun Baru Cina bersama keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, pengguna jalanraya turut dinasihati agar memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya serta kadar kematian akibat kemalangan terutamanya pada musim perayaan.-EDISI UKAS

add comment