Datuk Ali Biju, Mohd Chee Kadir Meriahkan Program Jualan Keluarga Malaysia Kabong

SABTU, 29 JANUARI 2022

KABONG: Timbalan Menteri Tenaga Dan Sumber Asli Malaysia merangkap Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju meluangkan masa bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir mengunjungi Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Pusat Penjaja Kabong pada Sabtu.

Program itu bertujuan memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan asas dan harian dengan harga lebih rendah.

PJKM dianjurkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan ianya adalah antara program inisiatif kerajaan bagi menangani kos sara hidup rakyat dalam mendepani COVID-19.

Pihak KPDNHEP turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak sebagai pengguna manakala peniaga pula harus mengamalkan sikap beretika dalam menjalankan perniagaan.

Pada program itu juga, kedua-dua wakil rakyat ini berkesempatan menikmati ikan goreng segar dan keropok lekor sumbangan LKIM dengan kerjasama PNK Kabong.

Hadir bersama Ketua Cawangan KPDNHEP, Al-Redzamani Abdul Raazak dan Pengurus PNK Kabong, Sahariya Tahot. – EDISI UKAS

add comment