JKM Sarawak Peruntuk RM610,600 Anjur Majlis Sejambak Kasih TBC 2022

SABTU, 29 JANUARI 2022

SIBU: Seramai 6,108 penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak di seluruh negeri ini menerima angpau sempena Majlis Sejambak Kasih sambutan Tahun Baru Cina 2022.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat, Dato Sri Fatimah Abdullah, JKM Negeri Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM610,600 untuk diagihkan kepada semua penerima.

Katanya, semua penerima akan menerima bantuan tersebut secara tunai sebanyak RM100 atau dimasukkan ke dalam akaun masing-masing.

“Ini adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak pada musim perayaan sama ada perayaan Tahun Baru Cina (TBC), perayaan Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak, Krismas atau Deepavali.

“Objektif program ini agar dapat meringankan beban klien jabatan dalam persediaan menyambut Perayaan Tahun Baru Cina 2022 di samping mengeratkan silaturahim dalam suasana Tahun Baru Cina dan meraikan perayaan utama yang disambut di Malaysia sejajar dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’,” katanya semasa berucap pada Majlis Sejambak Kasih sempena Tahun Baru Cina 2022 anjuran JKM Negeri Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak, Sibu.

Menurutnya, program tersebut diadakan setiap kali tiba musim perayaan bagi memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan turut serta meraikannya.

Bahagian Sibu mempunyai seramai 500 orang penerima Bantuan Kewangan Kebajikan yang berbangsa Cina.

Terdahulu, Dato Sri Fatimah mewakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan merasmikan Tempat Transit Gelandangan (TTG) Sibu di Wisma Sanyan.

Menurutnya, TTG Sibu merupakan yang pertama di Sarawak bukan tempat selamanya untuk golongan gelandangan tetapi sebagai transit bagi membantu mereka sehingga mampu untuk merubah diri menjadi lebih baik dan mampu berdikari.

Katanya, penubuhan fasiliti atau pusat sokongan sosial dalam komuniti, khusus untuk komuniti gelandangan seperti TTG Sibu adalah komitmen Kerajaan GPS Sarawak “to the agenda of social inclusivity where no one is left behind” dalam usaha mencapai status negeri maju dan pembangunan seimbang pada tahun 2030.

TTG ini jelasnya menyediakan kemudahan transit bagi gelandangan membersihkan diri, menumpang tidur serta makan percuma waktu malam dan pada waktu siang mereka akan keluar untuk urusan masing-masing.

Selain itu, ia menyediakan khidmat bersepadu bagi saringan kesihatan fizikal, mental, emosi serta ujian pengesanan penggunaan substance dan menyediakan perkhidmatan kepada agensi-agensi berkaitan bantuan yang diperlukan oleh gelandangan.

Setakat 30 Oktober 2021, seramai 158 orang gelandangan telah dikenalpasti dan didaftarkan melalui operasi cerapan gelandangan di semua bahagian berkaitan secara berkala sejak 25 Julai 2021 bagi mendapat input untuk Program Vaksinasi Komuniti Gelandangan di Sarawak.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat I, Datuk Rosey Yunus; Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat II, Mohd Razi Sitam; Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II, Michael Tiang Ming Tee; ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek; Residen Bahagian Sibu, Wong Hee Sieng; Pengarah Jabatan Kebajikan Sarawak, Noriah Ahmad dan Residen Bahagian Bintulu, Datu Jack Aman Luat. – EDISI UKAS

add comment