Pemergian Tun Pehin Sri Abang Muhammad Salahuddin Kehilangan Besar Kepada Sarawak

SABTU, 29 JANUARI 2022

KUCHING: Pemergian Mantan Yang Di Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Pehin Sri Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada Sarawak.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Allahyarham merupakan seorang tokoh yang telah banyak berjasa dan berjuang untuk Negeri Sarawak.

Katanya, Allahyarham juga merupakan seorang pejuang ketika Sarawak memutuskan untuk bergabung sebagai sebuah Negara Malaysia dan pemimpin yang telah ditemuduga oleh Suruhanjaya Cobbold waktu itu dan selepas itu membawa kepada era kemerdekaan.

“Tun pula telah dilantik menjadi YDP dua kali. Ini melambangkan ketokohan Tun sebagai seorang pemimpin yang telah menyatukan rakyat berbilang kaum, berbilang bangsa di Sarawak,” katanya kepada media selepas selesai memberikan penghormatan terakhir di Masjid Jamek Kuching pada Sabtu.

Tun Pehin Sri Abang Muhammad Salahuddin meninggal dunia pada usia 100 tahun di Pusat Perubatan Normah Kuching pada Jumaat.

Dilahirkan pada 27 Ogos 1921 di Kampung Nangka, Sibu, Allahyarham merupakan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak pertama dilantik memegang jawatan tersebut sebanyak dua kali.

Beliau dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Ke-3 pada 2 April 1977 hingga 2 April 1981 dan dilantik semula sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Ke-6 dari 22 Februari 2001 hingga 28 Februari 2014.

“Jadi kita mempunyai seorang anak Sarawak yang telah meninggalkan kita dan satu kehilangan besar kepada kita di sarawak. Saya berkesempatan berkhidmat di bawah pimpinan beliau sebagai menteri dan sudah tentu banyak nasihat telah diberi kepada kita, bagaimana kita pertahankan negeri kita supaya negeri kita aman dan makmur.

“Dan kepada keluarga, kami berdoa agar mereka bersabar dan moga moga roh Tun ditempatkan bersama-sama orang beriman dan orang yang soleh,” jelas Ketua Menteri lagi.

Sementara itu, suasana hiba menyelubungi Masjid Jamek sebaik keranda yang membawa tiba di perkarangan masjid pada sekitar jam 11.20 pagi serta diiringi pihak polis dan diusung mengikut adat istiadat daripada 11 Regimen Askar melayu Diraja (RAMD) Kem Semenggo.

Turut memberi penghormatan terakhir, Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib serta dif-dif kehormat yang lain.

Sebelum ini isteri Allahyarhamah, Toh Puan Hajah Norkiah Bagong meninggal dunia pada 14 April 2021 di Hospital Umum Sarawak kerana komplikasi selepas mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak manakala isteri pertamanya, Allahyarhamah Dayang Umi Khalthum juga telah meninggal dunia.

Allahyarham dikurniakan sembilan anak kandung, empat anak angkat, 25 cucu dan 26 cicit.

Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang selepas selesai solat Zohor.-EDISI UKAS

add comment