Perusahaan Inap Desa Bantu Tingkatkan Ekonomi, Industri Pelancongan

SABTU, 29 JANUARI 2022

RAJANG: Perusahaan inap desa dapat membantu meningkatkan ekonomi serta industri pelancongan jika dijalankan dengan teratur dan menyediakan kualiti perkhidmatan yang terbaik.

Sehubungan itu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh berharap lebih ramai lagi yang berkecimpung dalam industri inap desa bagi membantu meningkatkan industri pelancongan khususnya di Pantai Belawai.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang mengulas demikian semasa menyempurnakan simbolik perasmian ManKiah Homestay di Kampung Rajang pada Sabtu.

Sementara itu, pengusaha ManKiah Homestay, Norman Abdullah Chee, lega kerana perniagaannya kembali bangkit selepas terpaksa ditutup berikutan penularan Covid-19.

Menurutnya, perniagaan yang diusahakannya sejak enam tahun lepas kini sering mendapat tempahan terutamanya pada hujung minggu.

ManKiah Homestay menawarkan dua bilik yang sesuai untuk seisi keluarga dengan harga antara RM100 hingga RM120 untuk satu malam.

Beliau juga amat berbesar hati menerima kehadiran Datu Len yang disifatkannya seorang pemimpin yang mengambil tahu, komited serta menyokong para usahawan seperti beliau yang baru berkecimpung dalam dunia keusahawanan. – EDISI UKAS

add comment