AHAD,30 JANUARI 2022
SIMUNJAN: Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri menyempurnakan simbolik penyerahan peralatan kepada pengusaha dan peniaga Daerah Simunjan di Rumah Rehat Sri Simunjan pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Parlimen P200 Batang Sadong memberitahu Program Bantuan Serahan Peralatan dan Kelengkapan Perniagaan bagi Pengusaha Daerah Simunjan menyasarkan kepada para ahli-ahli persatuan dibawah Parlimen P200 Batang Sadong khususnya di DUN N25 Simunjan yang berdaftar.
“Ini adalah usaha untuk membantu para peniaga, pengusaha kecil yang terkesan oleh pandemik COVID-19 serta memulihkan semula perniagaan yang diusahakan.
“Harapan kita biarlah ini menjadi pencetus semangat buat usahawan kita dalam menjanakan pendapatan agar usaha kerajaan negeri Sarawak untuk mencapai negeri maju menjelang 2030 dapat dicapai,” ujarnya semasa berucap dalam Majlis Simbolik Penyerahan Peralatan Kepada Pengusaha/Peniaga Simunjan dan Simbolik Penyerahan Cek PMR (OG)/MRP.
Antara yang menerima sumbangan adalah Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS), Persatuan Ibu Tunggal Daerah Simunjan (PITSA) dan Persatuan Komuniti Usahawan Simunjan (PERKOUS).
Selain bantuan sokongan perniagaan yang disalurkan ini para pengusaha juga disarankan mengutamakan tadbir urus kewangan yang efektif agar perniagaan sedia ada mampu berdaya saing dan para pengusaha akan didedahkan melalui kursus serta latihan yang bakal disediakan.
Dalam majlis yang sama, beliau turut menyerahkan cek PMR (OG)/MRP kepada tujuh penerima yang terdiri daripada kelab/persatuan serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Simunjan.
Sementara itu pengusaha alus manis, Nurulzinnah Rebbi dari Kampung Kelka melahirkan rasa seronok di atas bantuan peralatan yang dihulurkan dan mengucapkan terima kasih kepada Dato Sri Nancy Shukri.
Nada gembira juga turut dikongsikan oleh Jariah Abu dari Kampung Sageng yang mengusahakan Kacang Hong Kong, Garlic dan masakan-masakan kampung.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Mohammed Kamaluddin Effendi dan Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Mohd Rizal Zakaria.-EDISI UKAS