Hospital Medan Sibu Inisiatif Bagi Mengatasi Kesesakan Pesakit Bukan COVID-19

AHAD, 30 JANUARI 2022

SIBU : Hospital Medan Sibu merupakan satu inisiatif strategik untuk mengatasi kesesakan dan bilangan katil yang terhad untuk pesakit bukan COVID-19 di Hospital Sibu.

Justeru, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah meluluskan pembinaan Hospital Medan dengan kapasiti 100 katil yang terletak di dalam kawasan Hospital Sibu bagi mengurangkan masalah yang dihadapi oleh Hospital Sibu.

Majlis Penyerahan Hospital Medan Sibu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, kepada Pengarah Hospital Sibu, Dr. Nanthakumar Thirunavukkarasu pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Muda Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr. Annuar Rapaee serta ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek.

Pada program berasingan, Datuk Amar Douglas telah hadir dalam Majlis Penghargaan dan Kesyukuran anjuran Gerempung Tuai Rumah (GTR) Daerah Kecil Spaoh di Pui Garden Food Court.

Majlis merarau dianjurkan sebagai salah satu aktiviti persatuan tersebut setelah sekian lama tiada aktiviti yang dapat dijalankan rentetan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, turut diadakan penyampaian sijil pelantikan kepada beberapa orang tuai rumah yang baharu dan sijil pelanjutan ketua kaum kepada para tuai rumah yang lain.

Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sokongan daripada para pengundi dari rumah panjang di bawah persatuan tersebut.

Sementara itu, turut berlangsung penyerahan cek daripada Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat bernilai RM10,000 kepada GTR Daerah Kecil Spaoh.-EDISI UKAS

add comment